• Suapan RSS

Kod QR MSN Perak

Harimau Malaysia cari keserasian

KUALA LUMPUR 5 Sept. – Selain mahu memburu kemenangan, jurulatih Harimau Malaysia, Datuk Ong turut mencari keserasian pemain dalam aksi persahabatan kelas A bertemu Indonesia di Stadium Manahan, Solo esok. 

Kim Swee berkata, selepas melakukan transisi pemain, dia berharap anak-anak buahnya dapat membentuk persefahaman dengan baik sebagai sebuah pasukan dalam melakukan persiapan mereka menghadapi kejohanan Piala AFF 2016 yang akan berlangsung pada 19 November hingga 17 Disember ini. 

“Saya sudah mempunyai senarai kesebelasan utama tapi saya perlu meneliti keadaan seorang pemain kerana dia masih belum cergas sepenuhnya. Terpulang kepada keadaan esok.

“Bukan sahaja bahagian pertahanan tapi banyak bahagian lain yang perlu saya teliti. 

“Salah satu bahagian adalah pertahanan di mana ramai pemain baharu me­nyertai skuad kebangsaan. 

“Sudah tentu kita inginkan kemenangan tapi esok kemenangan bukan perkara utama yang kita perlu fikirkan kerana yang penting adalah keserasian pemain-pemain kita di mana kita mempunyai transisi iaitu ramai pemain muda menyertai skuad kebangsaan.

“Apa yang penting adalah persiapan kedua-dua pasukan.

 

“Penting untuk kedua-dua pa­sukan mendapatkan perlawanan bermutu tinggi sebagai persiapan menghadapi Piala AFF 2016,” katanya kepada pemberita yang ketika ini berada di Indonesia.

 

Mengulas mengenai keha­diran Andik Vermansah yang bakal membuat penampilan bersama skuad kebangsaan negaranya, Indonesia, Kim Swee tidak meng­anggap kelibat pemain sayap Se­langor itu sebagai satu perbezaan yang ketara.

 

“Tidak banyak beza. Kita tahu Andik pernah beraksi bersama ­Indonesia dan menentang Malaysia pada Sukan SEA 2011 dan Sukan SEA 2013. Jadi, saya tidak nampak banyak perbezaan.

 

“Sudah tentu kita tahu Andik bermain bersama Selangor dan situasi itu memberi kelebihan kepadanya untuk mengenali pemain Malaysia dengan lebih baik berbanding rakan-rakannya yang lain,” katanya lagi.

SUMBER : UTUSAN ONLINE  6 SEPTEMBER 2016

 

FaLang translation system by Faboba