• Suapan RSS

Kod QR MSN Perak

Ayuh bangkit Tigers!

 

MALAYSIAN Tigers perlu segera melakukan kebangkitan dalam Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah ke-26 setelah mempamerkan aksi kurang memberangsangkan dalam dua perlawanan awal.

Skuad negara hanya mampu seri 1-1 menentang Jepun sebelum dibelasah 1-6 Australia sekali gus meletakkan skuad kendalian Stephen van Huizen itu meniti laluan sukar untuk layak ke slot empat terbaik.

 

Malah perlawanan skuad negara selepas ini lebih mencabar kerana New Zealand, Great Britain dan India menanti.

Van Huizen nyata kecewa dengan prestasi yang dipamerkan pasukan biarpun mengetahui pemain sudah mencuba sedaya upaya memberikan aksi terbaik.

Beliau juga mengakui tiga perlawanan akan datang akan menjadi lebih sukar selain mengharapkan komitmen berterusan pemain untuk kembali bangkit.

“Kami perlu membuat persiapan terbaik dan sedar perlawanan akan datang lebih sengit.

“Kami perlu mencari jalan bagi memastikan dapat kemenangan dalam kesemua perlawanan itu," katanya.

Australia bukan tandingan

Perlawanan menentang Australia kelmarin, Malaysia nyata masih jauh ketinggalan dari pasukan pilihan itu setelah tewas mudah 1-6.

Pada aksi di hadapan kira-kira 2,000 penyokong di Stadium Azlan Shah di sini, kedua-dua pasukan mempamerkan corak permainan pantas bagi memburu jaringan awal apabila saling mengasak kubu lawan masing-masing.  

 Bagaimanapun Malaysian Tigers gagal mempertahankan gawang mereka apabila Tom Craig menyumbat gol pertama Australia, yang juga pasukan nombor dua dunia pada minit ke-11 diikuti dua jaringan Trent Mitton pada minit ke-23 dan 27.

Malaysia yang berada di ranking ke-13 dunia memperoleh dua pukulan sudut penalti, namun gagal menghasilkan gol berikutan kecekapan pertahanan pasukan Australia mengawal kubu mereka daripada dibolosi.

Usaha pasukan negara bagaimanapun berhasil apabila menjaringkan gol pertama menerusi pukulan penalti Faizal Saari pada minit ke-42, sebelum Craig menambah derita pasukan Malaysia melalui dua lagi jaringan pada minit ke-38 dan 44.

Australia terus menggandakan asakan ke kubu negara dan Mitton menjaringkan gol keenam pasukan itu pada minit ke-58.

Ketika ditemui selepas perlawanan, jurulatih Australia Colin Batch berkata, beliau berpuas hati dengan persembahan pemainnya yang menampilkan peningkatan berbanding perlawanan semalam apabila seri 1-1 menentang New Zealand .

“Banyak yang kita belajar daripada perlawanan semalam termasuk memanfaatkan semua peluang bagi menjaringkan gol dan Tom Craig menunjukkan prestasi cemerlang malam ini,” katanya.

Bagi van Huizen pula, anak buahnya sudah melakukan yang terbaik pada perlawanan malam ini.

“Walaupun pemain telah berjuang habis-habisan terutama pada 15 minit terakhir perlawanan, pada masa yang sama mereka melakukan kesilapan sehingga membenarkan Australia menambah jaringan,” katanya.

Sumber : Sinar Harian Online

FaLang translation system by Faboba