• Suapan RSS

Kod QR MSN Perak

Perak pilih Kum Zee CDM SUKMA 2018.

 

IPOH: Perak memilih dua anak tempatan yang juga tokoh sukan olahraga kebangsaan sebagai Chef-de-mission (CDM) bagi kontinjen Perak pada Sukan Malaysia (SUKMA) Perak 2018.

Anak jati Perak yang juga bekas atlet olahraga lompat tinggi negara, Loo Kum Zee serta bekas pelari negara, Josephine Mary masing-masing dilantik sebagai Ketua dan Timbalan Chef-de-mission kontinjen bagi menghargai jasa dan sumbangan besar mereka dalam arena sukan negara.

Pengumuman kedua-dua tokoh sukan berkenaan dibuat Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir di sini hari ini.

Zambry berkata, kedua-dua tokoh sukan itu banyak mengharumkan nama negara dan negeri di persada antarabangsa dan di atas penilaian itu kerajaan negeri membuat keputusan untuk menampilkan tokoh sukan anak Perak untuk terbabit secara langsung dalam penganjuran SUKMA 2018 September nanti.

"Kedua-dua mereka bersetuju dan mereka menganggap lantikan itu adalah satu pengiktirafan kepada mereka untuk melaksanakan sesuatu yang baik kepada negeri Perak," katanya ketika mengumumkan pelantikan itu selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco kerajaan negeri di pejabatnya di sini.

Sementara itu, Kum Zee berkata, pelantikan diumumkan Zambry satu penghargaan dan penghormatan kepada dirinya sebagai bekas atlet negeri yang pernah mewakili negara.

"Kami sangat berharap supaya dapat memberikan komitmen yang terbaik untuk sama membantu SUKMA Perak 2018," katanya.

Josephine turut senada dengan Kum Zee dan menyatakan penghargaan serta sangat berbesar hati dipilih untuk turut sama menjayakan temasya sukan berkenaan dalam membantu Perak meraih lebih banyak pingat.

"Sebelum ini kerajaan Perak sudah cukup banyak membantu dan menyokong kami dan kini tibalah masa kami untuk memberikan pula sepenuh komitmen untuk sama-sama menjayakan SUKMA 2018," katanya.

 SUMBER: www.bharian.com.my

FaLang translation system by Faboba