• Suapan RSS

Kod QR MSN Perak

MALI MAHU ULANGI SEJARAH

JOHANNESBURG, Afrika Selatan - Mali berharap sejarah akan berulang pada aksi penentuan tempat ketiga kempen Piala Negara-Negara Afrika menentang Ghana di Stadium Nelson Mandela Bay awal pagi esok.

Mali tewas 0-2 kepada Ghana pada pusingan pertama kempen tahun lalu tetapi mereka kembali mempamerkan aksi terbaik dan memenangi perlawanan penentuan tempat ketiga hasil jaringan Cheick Tidiane Diabate.

Pada edisi kali ini, mereka sekali lagi tewas 0-1 kepada Ghana pada aksi Kumpulan B menerusi jaringan penyerang lawan, Mubarak Wakaso.

Anak-anak buah Patrice Carteron teruja untuk menewaskan Ghana awal pagi esok, sekali gus mengubat kekecewaan selepas dibelasah 1-4 oleh Nigeria pada aksi separuh akhir kelmarin.

Kapten Mali, Seydou Keita berkata, dia mahu melupakan kekalahan kepada Nigeria dan berazam untuk menebus kedukaan itu dengan menewaskan Ghana.

Bekas perancang Barcelona itu yakin kekalahan tersebut berpunca daripada kegagalan mereka beraksi sebagai satu pasukan, berbanding ketika menewaskan tuan rumah, Afrika Selatan 2-1 pada saingan suku akhir.

Keita mahu menamatkan kempen kali ini di tempat ketiga buat kali kedua dalam lima penampilan selepas tewas kepada Ivory Coast dan Nigeria dalam dua pertemuan terdahulu.

"Menyalahkan orang lain hanya membuang masa. Kami perlu mengulangi persembahan cemerlang ketika berdepan Afrika Selatan jika mahu menewaskan Ghana.

"Kekecewaan tewas kepada Nigeria masih terasa tetapi kami perlu melupakan segera kekalahan kerana masih ada satu lagi perlawanan," kata Keita.

Begitupun, Mali tidak akan diberi laluan mudah kerana Ghana juga enggan pulang dengan tangan kosong.

Tampil selaku semifinalis sepanjang empat edisi terakhir turut meletakkan skuad The Black Star sebagai pasukan pilihan berbanding Mali.

Begitupun, kapten Ghana, Asamoah Gyan tidak mahu mendabik dada kerana apa jua kemungkinan boleh berlaku dalam bola sepak jika mereka kurang berwaspada.

Pada masa sama, Wakaso berpeluang untuk memenangi Anugerah Kasut Emas apabila berkongsi empat jaringan bersama penyerang Nigeria, Emmanuel Emenike. - AFP

Petikan dari KOSMO 9 Februari 2013
FaLang translation system by Faboba