• Suapan RSS

Kod QR MSN Perak

FAM akan jelaskan kepada MSN

SETIAUSAHA Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad bersedia untuk bertemu dengan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong dalam masa terdekat.

Pertemuan tersebut adalah usaha FAM untuk menjelaskan situasi sebenar yang berlaku ketika lawatan skuad Harimau Muda ke Australia baru-baru ini, yang didakwa sebagai 'ditipu' oleh ejen yang mengendalikannya.

Isu tersebut timbul apabila skuad Harimau Muda yang dijadualkan menentang juara Liga Australia, Brisbane Roar tetapi perlawanan tersebut tidak dapat diadakan atas sebab yang tidak dapat dielakkan.

Sebagai ganti, skuad muda negara telah menentang pasukan bawah 18 Queensland Academy pada perlawanan terakhir siri Jelajah Australia itu.

Skuad negara telah dimaklumkan bahawa Brisbane Roar tidak dapat melayan kunjungan Harimau Muda disebabkan masalah kecederaan yang menimpa pemain- pemain utama mereka.

Selain itu, Brisbane Roar dikatakan tidak mahu mengambil risiko untuk menentang Harimau Muda sebagai usaha memberikan tumpuan kepada aksi kelayakan Liga Juara-Juara AFC menentang kelab Thailand, Buriram United pada Rabu depan.

Biarpun insiden itu telah diperjelaskan oleh Pengarah Teknikal Queensland Foot-ball Club, Gary Phillips yang turut mengakui kesal dengan perubahan pada saat-saat terakhir, namun peminat bola sepak tempatan sukar untuk menerima alasan tersebut.

Mengulas lanjut, Azzuddin menegaskan yang beliau akan bertemu dengan Zolkples bagi memperjelaskan keadaan situasi sebenar dialami skuad Harimau Muda pada lawatan tersebut agar ia tidak menimbulkan keraguan kepada mana-mana pihak.

"Saya menghormati Zolkples sebagai Ketua Pengarah MSN, dan adalah lebih baik jika kami duduk semeja untuk memperjelaskan situasi sebenar yang dihadapi Harimau Muda (sepanjang berada di Australia).

"Saya akan membuat kunjungan hormat ke atas beliau dalam masa terdekat, dan saya akan menjelaskan perkara ini secara lebih berhemah dan bukan melalui media," katanya ketika dihubungi semalam.

Tambah Azzuddin, perancangan untuk menghantar skuad Harimau Muda ke Australia itu telah rancang dengan rapi dan bukannya dibuat sesuka hati.

"Dakwaan 'tipu' itu tidak wujud sebenarnya. FAM telah merancang persiapan Harimau Muda dalam tempoh yang lama dan ia adalah satu kesilapan teknikal ketika mereka berada di sana."

 


Sumber: Kosmo! Online

FaLang translation system by Faboba