• Suapan RSS

Kod QR MSN Perak

Ambil Peluang Muncul Juara

 MALAYSIA perlu mengambil peluang untuk menjuarai Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah edisi ke-22 di Ipoh bulan depan selepas ketiadaan beberapa pasukan gergasi khususnya dari Eropah.

Pandangan tersebut disuarakan oleh Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong (gambar) yang berpendapat prestasi semasa skuad kendalian Paul Revington itu ketika ini sangat baik.

Menurutnya, Malaysia berpeluang meraih gelaran sulung Piala Sultan Azlan Shah selepas sekadar muncul naib juara sebanyak dua kali iaitu pada edisi 1985 dan 2007.

“Dengan ketiadaan kuasa-kuasa besar dari Eropah, sepatutnya memberi kita lebih peluang muncul juara.

“Saya lihat banyak perubahan berlaku terhadap pasukan selepas mendapat sentuhan Paul Revington,” kata Zolkples.

Zolkples berkata, skuad negara kini bermain lebih positif dan prestasi pemain senior yang dipanggil semula - Chua Boon Huat, Mohd. Amin Rahim, Jivan Mohan dan Ismail Abu amat membanggakan.

Pengalaman yang dimiliki barisan tonggak itu selain ditambah dengan suntikan tenaga muda - Faiz Helmi Jali, Amir Farid Ahmad Fuzi, Ramadan Rosli telah menambah kekuatan skuad negara.

“Saya melihat kejohanan (Piala Sultan Azlan Shah) kali ini sangat penting bagi membuktikan kepada dunia bahawa kita berada dalam satu tahap membanggakan dan kita perlu mengambil peluang itu,” jelasnya.

Zolkples turut melahirkan rasa terkilan terhadap keputusan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) yang memutuskan Liga Hoki Dunia diadakan di Johor Bahru.

“Saya ada mencadangkan kejohanan itu yang bermula 1 hingga 9 Jun depan diadakan di Bukit Jalil kerana sudah lama stadium ini (Stadium Hoki Nasional) sepi daripada sebarang kejohanan besar.

“Namun, saya akur kerana mereka (MHC) lebih berhak menentukan lokasi kejohanan,” katanya.

Kejohanan itu menyediakan empat tempat secara automatik kepada mana-mana pasukan untuk beraksi pada kempen Piala Dunia 2014 di Belanda.

Kali terakhir Malaysia beraksi dalam Piala Dunia ialah pada edisi 2002 di Kuala Lumpur.

Sumber : Kosmo 13 Februari 2013
FaLang translation system by Faboba