• Suapan RSS

Kod QR MSN Perak

Kagawa Lonjak Semangat United Hadapi Real

MANCHESTER - Pengurus Manchester United, Alex Ferguson mengalu-alukan kunjungan Real Madrid minggu depan tetapi turut menanti-nantikan musim depan dan kesan yang mampu Shinji Kagawa berikan pada pasukannya.

Pemain tengah Jepun itu menjaringkan hatrik dalam kemenangan United 4-0 ke atas Norwich City, satu keputusan yang membuka jurang 15 mata ke atas Manchester City di kemuncak Liga Perdana Inggeris.

Hal itu turut menjadikannya pemain Asia pertama menjaringkan hatrik dalam sejarah persaingan utama England.

Kagawa sebelumnya menjaringkan hanya dua gol liga buat United sejak perpindahan penamat musimnya bernilai 12 juta pound (RM55.82 juta) dari Borussia Dortmund.

Namun, cara di mana dia menjaringkan golnya ke atas Norwich menguatkan bukti yang menyokong dakwaan Ferguson bahawa Kagawa akan memerlukan satu musim dalam bola sepak England sebelum dia mula mencapai kemampuan sebenarnya.

"Dia seorang penyudah yang bagus. Gol kedua dan ketiganya cemerlang.

"Dia menunjukkan kepintaran bagi yang kedua, amat tenang dan yang ketiga, benar-benar disudahkan dengan baik.

"Dia secara beransur menemui prestasinya semula kerana dia terlepas satu tempoh bola sepak apabila tercedera pada Oktober dan November yang agak menjejaskannya.

"Saya fikir kita akan melihat seorang pemain hebat tahun depan; seorang pemain yang jauh, jauh lebih baik," kata Ferguson.

Ferguson turut mengakui bahawa keputusan untuk mengubah Kagawa daripada sayap ke bahagian tengah yang membuktikan perbezaan antara kemenangan tipis United dan sesuatu yang amat selesa.

"Dia mencipta kelainan buat kami dan dia menyudahinya dengan mendapatkan hatrik. Satu hari yang hebat buatnya, keseluruhannya."

Kagawa, bercakap menerusi penterjemah, mengakui bahawa seperti kebanyakan peminat bola sepak di Eropah, penyokongnya di Jepun bakal lebih berminat dengan peristiwa Selasa ini apabila United melayani Real Madrid dalam perlawanan kedua pusingan 16 terakhir Liga Juara-juara, dari hujung minggu ini.

"Hal ini mungkin jadi berita besar di Jepun.

"Namun, di Jepun, mereka benar-benar mengalu-alukan perlawanan Real. Jadi itulah yang saya juga nanti-nantikan.

"Satu petang yang bakal hebat, pastinya, dan saya mahu bersedia dan berkeadaan sempurna untuk mampu membantu pasukan menang.

"Ada banyak perkara yang saya perlu buat untuk membantu pasukan dan itulah yang saya cuba lakukan," katanya.

Ferguson yang menyaksikan Wayne Rooney menjaringkan gol keempat dan terakhirnya bagi pasukannya, turut berpuas hati dengan hakikat bahawa pemain antarabangsa England itu mampu mengubah prestasi 90 minit sebagai persediaan bagi kunjungan Real.

Warga Scotland itu turut mengeluarkan Robin van Persie dengan baki 25 minit, bagi merehatkannya untuk persaingan Eropah dan pengurus United itu dilaporkan tidak bimbang dengan kecederaan baharu selepas kemenangan itu.

"Hal itu bakal bagus buat keyakinannya. Dia terlepas dua atau tiga perlawanan baru-baru ini tetapi dia kembali hari ini (Sabtu), bekerja keras dan menjaringkan satu gol. Itu sahaja yang kami perlu.

"Dia memerlukan satu perlawanan penuh. Dia masuk sebagai gantian minggu lalu di QPR tetapi sentiasa penting bagi penyerang untuk menjaringkan gol. Hal ini akan membantu keyakinannya. Dia akan baik," katanya.

Pendahuluan 15 mata United, dengan hanya 33 mata yang ada untuk dikumpul City, tampak tidak boleh disaingi tetapi Ferguson cuba untuk tidak terbawa-bawa dengannya. - AFP


Sumber : Utusan Online
FaLang translation system by Faboba