• Suapan RSS

Kod QR MSN Perak

MSN azam pastikan SUKMA 2013 tiada kecacatan

Dalam memastikan kelancaran penganjuran temasya Sukan Malaysia (SUKMA) yang akan berlangsung di Kuala Lumpur bulan depan, Majlis Sukan Negara (MSN) tidak mahu terlepas pandang walau satu pun aspek yang perlu diberi perhatian – ini termasuklah penyediaan khidmat sukarelawan bagi membantu menjayakan temasya yang memasuki edisi ke-16 ini.
 
Pengarah Jabatan Hal Ehwal Atlet MSN yang juga Pengerusi Jawatankuasa Sukarelawan SUKMA KL 2013, Zaiton Othman berkata pihaknya serius di dalam membekalkan khidmat terbaik sepanjang 10 hari temasya berlangsung apabila menyediakan seramai 350 sukarelawan untuk terlibat sama agar penganjuran kali ini berlangsung dengan jayanya.
 
Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Kursus Intensif MySukarelawan SUKMA 2013 di Bukit Jalil, Zaiton berkata : “Khidmat mereka sangat penting, merekalah yang akan membantu memastikan SUKMA kali ini berjalan lancar.
 
“Kursus ini akan membantu mereka memahami dan tahu apa yang diperlukan daripada mereka, serta bagaimana untuk mengendalikan perkara-perkara yang perlu walau dalam apa jawatankuasa sekalipun mereka diletakkan agar mereka dapat melaksanakan tugas dengan berkesan nanti.
 
“Kita akan mempunyai 16 jawatankuasa semuanya. Semua jawatankuasa memerlukan sukarelawan seperti sekretariat sendiri, perubatan, penyampaian hadiah, pengangkutan dan sebagainya. Kita mahu sukarelawan kita berkenalan satu sama lain melalui aktiviti yang kita adakan, dengan itu mereka akan lebih mudah bekerjasama dan membentuk pasukan yang mantap di SUKMA.”
 
Kursus  Intensif MySukarelawan akan berlangsung dua sessi dengan sessi kedua dijadual diadakan pada 15 Jun depan.
 
Topik-topik yang terkandung di dalam modul latihan untuk sukarelawan sepanjang dua sessi ini adalah memahami kesukarelawan, tayangan video tanggungjawab sukarelawan sukan antarabangsa dan tempatan, sesi permainan, the do and don’t’s di kalangan sukarelawan sukan, etika kesukarelawan dan Role Play.
 
Mengulas lanjut, Zaiton berkata : “Kita sebenarnya telah rancang tiga sesi, tetapi kerana kita nak jimatkan bajet, kita padatkan jadi dua. Sesi yang seterusnya (15 Jun) akan memantapkan lagi pengetahuan mereka kerana pada masa itu mereka akan lebih jelas tentang tugas mereka.
 
“Saya yakin dua sesi sudah mencukupi, kita ada tenaga yang berpengalaman dan sukarelawan ini akan didedahkan dengan bidang tugas sebaiknya. Apa yang penting, kita mahu mereka tahu etika yang perlu dipatuhi, menjadikan mereka lebih berdisiplin kerana sukarelawan ini akan membawa imej dan nama kita secara langsung.”
 
SUKMA KL 2013 akan berlangsung pada 28 Jun hingga 7 Julai depan dengan mempertandingkan sebanyak 20 acara sukan.
 
Sumber : Suara Sukan Anda
FaLang translation system by Faboba