• RSS Feed

MSNPk QR Code

  • Home Page
  • Activity
  • News
  • PAFA Harap Ribuan Penonton Banjiri Stadium Perak

PAFA Harap Ribuan Penonton Banjiri Stadium Perak

IPOH – Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) meminta puluhan ribu penyokong membanjiri Stadium Perak di sini 15 Okt nanti bagi menyaksikan perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia antara Perak dan Johor Darul Ta’zim (JDT).

Setiausaha Kehormat PAFA, Ahmad Shahrul Azhar Sofian berkata meskipun ada kalangan penyokong kecewa kerana tarikh perlawanan dilewatkan sehari daripada tarikh asal, namun ia bukan kekangan untuk mereka terus memberikan sokongan kepada skuad The Bos Gaurus.

“Saya percaya penyokong Perak sudah semakin matang dan tidak akan terbawa-bawa dengan konflik berkaitan tarikh aksi separuh akhir pertama yang sebelum ini agak menimbulkan kontroversi.

“Bagi PAFA sendiri, kita harap soal tarikh ini tidak dipanjangkan lagi dan paling utama kita nak kejayaan dapat dihasilkan dengan bantuan sokongan daripada para peminat,” katanya ketika ditemui Bernama di sini, hari ini.

Pada 3 Okt lepas, Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) memuktamadkan 15 Okt ini sebagai tarikh bagi aksi separuh akhir pertama membabitkan kedua-dua pasukan itu.

Perkara itu dibuat selepas mengambil kira semua faktor termasuk aksi kelayakan Piala Asia 2019 membabitkan skuad kebangsaan di Hong Kong pada 10 Okt ini.

Selain itu, Ahmad Shahrul yang juga pengurus pasukan merayu kepada para penyokong Perak supaya tidak melakukan sebarang provokasi liar hingga menyebabkan tindakan luar jangkauan berlaku.

“Kita harap penyokong yang datang bagi sokongan atas kapasiti semangat kesukanan. Kita tak mahu benda-benda negatif jadi sehingga menyebabkan pelbagai pihak terpaksa masuk campur untuk tanganinya,” katanya.

Mengulas mengenai persiapan pasukan Perak, Ahmad Shahrul berkata, para pemain berada pada prestasi terbaik selain fokus untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama.

Katanya, beliau berharap suasana positif itu terus ditingkatkan bagi menyerap segala tekanan dan tentangan yang akan diberikan JDT dalam perlawanan itu seterusnya melakar kejayaan. – BERNAMA

 

FaLang translation system by Faboba