Demo

Habuan pengangkutan bas, tiket percuma jika layak final

PERSATUAN Bola Sepak Negeri Perak (Pafa) menawarkan habuan kemudahan sepuluh bas berserta tiket percuma kepada penyokong pasukan The Bos Gaurus sekiranya pasukan itu menepati ramalan layak ke final Piala Malaysia.

Presidennya, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim berkata, habuan itu ditawarkan Pafa bagi menggalakkan kehadiran lebih ramai penyokong skuad Perak ke perlawanan final Piala Malaysia yang dijadualkan berlangsung pada 27 Oktober ini.

Menurutnya, sebahagian besar kemudahan bas dan tiket percuma kepada penyokong akan diagih-agihkan di beberapa daerah termasuk Kerian dan Kuala Kangsar dan pihaknya turut berusaha mendapatkan tajaan tambahan daripada mana-mana pihak berminat untuk penyediaan lebih banyak kemudahan percuma kepada penyokong setia.

"Pafa yakin skuad Perak mampu pertahankan kelebihan agregrat 5-0 diperoleh dalam perlawanan pertama separuh akhir antara dengan skuad Sabah di Ipoh sebelum ini. Keyakinan juga berdasarkan kelegaan kita apabila lima pemain Perak dipanggil bermain untuk pasukan kebangsaan minggu ini disahkan bebas kecederaan serius.

"Mereka mampu kembali cergas bagi menghadapi perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia menentang skuad Badak di Kota Kinabalu, Sabah minggu ini," katanya selepas majlis Anugerah Kecemerlangan Sekolah Menengah Kebangsaan(SMK) Sayong, di sini hari ini.

Hasnul Zulkarnain yang juga Exco Komunikasi, Multimedia, NGO dan Pembangunan Koperasi Perak berkata, pihaknya mengharapkan skuad The Bos Gaurus melakar kejayaan bersejarah julung kali memenangi Piala Malaysia dalam tempoh sebelas tahun dan yakin pengendali, Mehmet Durakovic sudah merencana persediaan rapi bagi tujuan itu.

"Kejayaan merangkul piala bersejarah itu juga dianggap hadiah terbaik pasukan Perak untuk dipersembahkan kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah sempena hari keputeraan baginda pada 3 November ini.

"Justeru saya merayu jasa baik semua penyokong setia skuad Perak turun beramai-ramai menghadiri perlawanan akhir Piala Malaysia sekiranya kita layak demi memberi sokongan padu kepada pahlawan kita di atas padang kelak," katanya.

Terdahulu, Perak berpesta gol apabila membelasah Sabah 5-0 pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia 2018 yang berlangsung di Stadium Perak, Ipoh pada 8 Oktober lalu.

Sumber : Sinar Harian

Hubungi Kami

WISMA MSN PERAK

Lot 4438,

Kompleks Sukan Bandaraya Ipoh

31400 Ipoh, Perak Darul Ridzuan

Tel: +6.05.547.8885 / +6.05.547.3984

Fax: +6.05.547.6885

STATISTIK PENGUNJUNG

0.png6.png2.png9.png1.png1.png
Hari Ini394
Semalam1235
Minggu Ini3185
Bulan Ini21130
Keseluruhan62911